Published by Berita Harian | 13 Jan 2021

Aspen Group Holdings Ltd

 

KUALA LUMPUR: Aspen Group Holdings Ltd yang berpangkalan di Pulau Pinang memperoleh kontrak penjualan dan pengedaran sarung tangan getah bernilai AS$100 juta (RM405 juta).

Perniagaan sarung tangan getah adalah langkah Aspen mempelbagaikan pendapatannya yang sebelum ini bergantung kepada pembangunan dan pelaburan hartanah.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, Aspen Glove Sdn Bhd (AGSB) menjalin perjanjian penjualan dan pengedaran untuk pengambilan keseluruhan pengeluaran pada 2021.

Katanya, ia menjangkakan dapat mengeluarkan sekitar satu bilion sarung tangan getah untuk kegunaan perubatan dari 1 Mei ini sehingga 31 Disember 2021.

“Melalui perjanjian itu, AGSB memperoleh jaminan nilai jualan sebanyak AS$100 juta berdasarkan unjuran harga purata AS$100 bagi 1,000 keping sarung tangan.

“Pengedar membayar deposit tunai kepada AGSB berjumlah AS$2 juta, dua peratus daripada nilai jaminan jualan,” katanya.

Aspen berkata, perjanjian ketika ini adalah bagi pengeluaran sarung tangan pada 2021 dan boleh diperbaharui tertakluk kepada persetujuan bersama.

Katanya, sarung tangan getah akan diedarkan berdasarkan pengeluaran produk tulen (OEM) ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dengan adanya lesen yang diperlukan untuk penjualan dan pengedaran.